Menuntut Ilmu Jalan ke Syurga

Friday 27 March 2015

Analisis Perbandingan Video "Terbang Tunduk"

 Analisis antara dua video Lynn Jamal bertajuk "Terbang Tunduk"

1. Bertarikh 15 Jun 2014 di Radio Hot fm (Youtube Channel). Video ini mendapat rating 292,599 penonton. Ketika ini, Puan Fynn Jamal dilihat bergandingan dengan tiga orang pemain gitar yang membantu mengisi latar musik. Penghayatan Fynn Jamal terhadap lagu tersebut dilihat bertenaga tetapi masih belum mengeluarkan sepenuh kudrat yang ada kerana posisi duduknya. Jika Fynn Jamal mengambil posisi berdiri ketika slot kedua iaitu ulangan selepas bahagian chorus, keadaan sedemikian dilihat mampu mengeluarkan lagi potensi sebenar beliau. Keadaan tertutup dan duduk di konti radio mengurangkan pergerakan Fynn Jamal sekumpulan. Hal ini menyebabkan kurangnya ruang untuk mengekspresi nilai dan gaya sebenar lagu yang dinyanyikan. Namun masih cukup untuk didendangkan bagi para pendengar radio yang tidak perlu melihat kepada susuk tubuh dan pergerakan persembahan. Gaya yang sedikit ini juga adakalanya penting bagi mengelakkan gangguan fokus penyanyi dan pemain musik. Selain itu, tumpuan para penonton Youtube bagi video ini juga dapat difokuskan ke satu arah yang jelas iaitu dibahagian tengah pandangan. Penghayatan penyanyi terhadap lagu juga didapati kurang dinyatakan secara sepenuhnya tanpa sangsi iaitu dengan mengenakan gaya pemakaian yang kurang menyatakan maksud lagu yang didendangkan.

2. Bertarikh 2 Sep 2014 di Radio THR Gegar (Youtube Channel). Video ini mendapat rating 481,592 penonton. Ekspresi wajah Fynn Jamal pada ketika ini dilihat lebih bercahaya dan menghayati lagu yang dibawa dengan hakikat yang benar yang terpamer dengan pemakaian yang menutup aurat selari dengan ucapan yang dituturkan iaitu "Paksakan kutunduk sehingga mati" yang bermaksud mengikut seluruh perintah Tuhan walau dalam keadaan terpaksa dan meninggalkan segala yang ditegah Tuhan. Antara perintah Tuhan yang dimaksudkan di sini ialah dengan menutup aurat sempurna iaitu mengenakan kain menutup kepala hingga melebihi paras dada dan menutupi seluruh tubuh dengan pakaian yang longgar dan tidak menampakkan bentuk tubuh, selain tidak terlalu menarik perhatian manusia lain untuk melihatnya dengan sebarang perhiasan yang menarik perhatian. Hanya anggota tangan di bahagian pergelangan dan muka sahaja yang boleh dibiarkan tidak bertutup. Penutupan aurat sebegini adalah wajib bagi setiap wanita Muslim yang telah mencapai usia akil baligh sehingga ajal menjemput. Batasan aurat ini hanya tertumpu kepada sesama perempuan bukan Islam dan lelaki yang bukan keluarga terdekat (ayah, adik-beradik lelaki, datuk, adik-beradik lelaki ayah, adik-beradik lelaki ibu, dan lain-lain yang terkait hubungan pertalian darah). Bagi sesama perempuan Islam, batasan auratnya adalah antara pusat hingga lutut tetapi amat digalakkan mengenakan pakaian menyeluruh dan beradab sopan bagi mengelakkan sebarang keadaan yang tidak diingini. Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa penghayatan penyanyi terhadap lagu yang dicipta dan dinyanyikan ini terpamer secara langsung, jelas dan sampai niat dari hati penyanyi ke hati penonton atas ketulusan dan kebenaran yang dibawa dalam penyampaian lagu ini.

Berbanding video pertama yang hanya berbeza dua (2) bulan setengah, video kedua ini dilihat mempunyai hampir dua kali rating lebih tinggi berbanding video pertama. Hal ini membuktikan kejayaan Fynn Jamal dalam merapatkan hubungannya dengan Tuhan telah menyebabkan Tuhan merapatkan hati-hati insan lain untuk lebih menghormati dan mengenali Puan Fynn dengan lebih dekat. Walaupun sudah beberapa bulan kedua-dua video dimuatnaik ke Youtube, penonton tetap berkunjung ke siaran video-video tersebut. Antara komen penonton video tersebut, hampir kesemuanya menyokong dan memuji usaha yang dibuat oleh penyanyi Fynn Jamal kerana isi yang terdapat dalam lirik lagu tersebut sungguh menginsafkan dan menyedarkan masyarakat untuk kembali menjadi hamba yang taat dan patuh kepada Tuhannya.

No comments:

Post a Comment