Menuntut Ilmu Jalan ke Syurga

Monday 2 May 2016

Kelestarian Kemiskinan dan Kekayaan?

Kelestarian ialah mengekalkan sesuatu yang ada pada hari ini agar dapat berfungsi dengan baik pada hari hingga masa hadapan. Antara cabaran dalam memastikan kelestarian terjamin dari sudut ekonomi, sosial dan spiritual ialah:
1. Kemiskinan.
- Kemiskinan menjadi punca mengapa sesuatu perkara tidak dapat diselesaikan dengan baik atau dikekalkan hingga mampu berfungsi dengan baik pada masa hadapan.
- Kemiskinan berlaku apabila seseorang tidak mampu mencukupkan keperluan asasnya sehingga keperluan tambahan tidak mampu dijaga dengan baik demi menjalani kehidupan yang selesa.
- Faktor berlakunya kemiskinan ialah daripada agihan pendapatan yang tidak seimbang antara penduduk walaupun harga barangan semakin meningkat dan rata-rata penduduk melaksanakan pekerjaan melebihi waktu bekerja yang sepatutnya.
- Kemiskinan boleh dibahagikan kepada dua kategori:
a) Kemiskinan Fizikal
> Kemiskinan yang nampak nyata.
> Berlaku antara diri, persekitaran dan masyarakat.
> Menjadi lestari apabila tiada usaha untuk menolak kezaliman terhadap diri, masyarakat dan harta.
> Boleh diatasi dengan bantuan berbentuk kewangan, barangan dan perkhidmatan seperti runding cara atau kaunseling.
b) Kemiskinan Spiritual
> Kemiskinan yang tidak boleh dilihat secara zahir tetapi boleh dirasa.
> Berlaku antara diri, persekitaran, masyarakat dan Tuhan.
> Menjadi lestari apabila tiada usaha untuk mendekatkan diri dengan Allah SWT menerusi bimbingan para guru dan sahabat yang diyakini ilmunya benar dan menepati syarak.
> Boleh diatasi dengan memperbaiki kualiti ibadah atau aktiviti keagamaan.
2. Kekayaan
- Kekayaan menjadi rebutan banyak pihak di dunia.
- Banyak negara telah dijajah oleh para penjajah demi melegakan kehausan sifat cintakan kekayaan.
- Kekayaan boleh dikategorikan kepada dua bahagian iaitu:
a) Kekayaan Fizikal
> Kekayaan yang nyata, boleh dilihat dan dinilai.
> Bersifat tidak kekal
> Sukar dicari, sukar dilepaskan namun mudah hilang nilainya.
> Menjadi lestari apabila dijaga dan diurus sebaiknya dengan memiliki ilmu berkaitan harta, termasuk urusan jual beli atau muamalah.
> Boleh hilang dengan sikap terburu-buru, jahil dan mengikut nafsu.
b) Kekayaan Spiritual
> Kekayaan yang tidak dapat dinilai dengan nyata tetapi boleh dilihat kesannya dan boleh dirasai kewujudannya.
> Bersifat tidak kekal
> Sukar dicari, mudah hilang nilainya tetapi tidak mudah untuk dilepaskan
> Menjadi lestari apabila dijaga dengan baik melalui peningkatan kualiti ibadah.
> Boleh hilang dengan tindakan mengabaikan tanggungjawab terhadap Pencipta dan makhlukNya.

Pada akhirnya, kelestarian merupakan suatu isu yang timbul berkadaran dengan masa. Setiap perkara yang wujud dan berlaku di dunia hanyalah sementara, tidak kekal untuk selamanya. Namun, manusia mempunyai tugas yang berat dalam mengurus kelestarian hidup agar dapat menikmati kehidupan berkualiti serta mampu memberi sumbangan bermakna buat generasi akan datang. Disamping itu, hasil usaha melestarikan kehidupan dunia bukanlah terhenti di dunia semata-mata bahkan terus lestari ke akhirat dengan membawa segala amalan yang telah diusahakan di dunia untuk perhitungan Yang Maha Menguasai Hari Pembalasan. Justeru, kejayaan yang diharapkan dalam kehidupan di dunia dan akhirat merupakan kekayaan fizikal dan kekayaan spiritual. Namun, bagi mengatasi sifat cintakan kekayaan fizikal yang melampau, Rasulullah SAW telah menunjukkan contoh teladan yang baik apabila baginda memohon kehadrat Ilahi untuk menjadi miskin dan bersama-sama dengan orang yang miskin di akhirat nanti. Kemiskinan yang dimaksudkan sudah semestinya kemiskinan fizikal, bukan kemiskinan spiritual kerana kemiskinan fizikal mengurangkan amanah dan tanggungan terhadap harta, diri, keluarga, masyarakat, negara, agama dan alam sekitar. Berbeza dengan kemiskinan spiritual yang merenggangkan hubungan dengan Tuhan sehingga mengundang kemurkaan Tuhan, Pencipta Alam, Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Wallahua'lam.