Menuntut Ilmu Jalan ke Syurga

Thursday 12 November 2015

PENGARUH AGAMA DALAM PEMBANGUNAN INSANIAH WANITA MELALUI ORGANISASI PEDIDIKAN






TUGASAN BLOG
PEMBANGUNAN INSANIAH

TAJUK: PENGARUH AGAMA DALAM PEMBANGUNAN INSANIAH WANITA MELALUI ORGANISASI PEDIDIKAN










NAMA: NA’IMAH BINTI MOHAMED NAJIB
NO. MATRIK: P-SM0141/14








UNIVERSITI SAINS MALAYSIA
17 NOVEMBER 2015

PENGENALAN


Penulisan ini adalah berkaitan dengan pembangunan insaniah yang dibentuk melalui agama sebagai pendidikan lengkap bagi sebuah kehidupan. Agama telah memainkan peranan yang cukup besar dalam sejarah ketamadunan bangsa Melayu dahulu hingga kini. Medium penyebaran agama tersebut datangnya daripada para pedagang. Kini, medium penyebaran agama adalah melalui teknologi yang digerakkan oleh insan dan organisasi yang berteraskan agama khususnya agama Islam. Wanita juga tidak terkecuali dalam melaksanakan tugas sebagai penyebar agama dalam masyarakat. Oleh itu, penulisan ini cuba membawa pembaca untuk melihat sejarah kedatangan agama di Tanah Melayu hingga kini dan kesannya terhadap pembangunan masyarakat melalui pendidikan.

Peranan Agama dalam Kehidupan Manusia


Agama merupakan panduan kepada kehidupan manusia di dunia. Setiap manusia dilahirkan dengan fitrah beragama, mencari tuhan untuk bergantung harap dan meminta pertolongan serta mengadu nasib. Tuhan juga menjadi tempat untuk manusia menghambakan diri dengan mengikuti ajaran yang diperintahkan oleh Tuhan. Terdapat pelbagai agama yang ada di dunia. Sesetengah agama dikategorikan sebagai agama samawi iaitu agama dari langit dan sebahagian lagi ialah agama yang dicipta oleh manusia. Agama juga mengubah keadaan sosial masyarakat. Kajian Amran Kasimin pada 1993 menunjukkan bahawa evolusi budaya Melayu turut dipengaruhi oleh animisme, hinduisme, buddhisme dan Islam. Pengaruh budaya-budaya tersebut telah meresap dalam kebudayaan orang Melayu hari ini. Percampuran budaya tersebut menyebabkan sukar untuk dibezakan asal unsur budaya antara satu sama lain. Pengaruh budaya Barat juga mempunyai kesan terhadap masyarakat Melayu kini walaupun pengaruh Barat datang kemudian setelah kolonial.

Proses Islamisasi masyarakat Melayu berlaku dengan sangat lambat seperti yang dicatatkan kerana Islam perlu memenangi hati penduduk tempatan sehingga menyebabkan semua masyarakat Melayu menerima Islam walaupun sebelum itu masyarakat Melayu telah menganut kepercayaan Hindu Buddha yang telah tiba lebih awal di Tanah Melayu. Masyarakat Melayu dilaporkan oleh Amran Kasimin sebagai tidak mengetahui doktrin dan falsafah agama Hindu Buddha tersebut tetapi menganut sekadar mengikut pemerintah ketika itu iaitu raja dan keluarga pemerintah. Raja dan keluarga pemerintah juga menganut agama Hindu Buddha tersebut sekadar untuk memperlihatkan keistimewaan mereka dipandangan rakyat jelata. Setelah kedatangan Islam, masyarakat Melayu dapat menerima Islam dengan mudah walaupun adat resam orang India yang dibawa ke Tanah Melayu sebelum kedatangan Islam masih terus diamalkan.

Kedatangan Islam seterusnya mengubah budayaadat resam masyarakat Melayu ketika penduduk tempatan memulakan usaha mencari ilmu pengetahuan di Timur Tengah. Pelajar-pelajar tersebut kemudian menjadi penulis Islam dengan menterjemah kitab agama dari bahasa Arab ke bahasa Melayu dengan menggunakan tulisan jawi. Perkataan-perkataan Arab mula digunakan dalam penulisan dan kehidupan seharian masyarakat Melayu tersebut. Seterusnya, sekolah-sekolah pondok dibuka oleh pelajar-pelajar tersebut terutama di Semenanjung Tanah Melayu. Akhirnya, amalan-amalan masyarakat Melayu dalam adat resam telah dimasukkan bersama unsur Islam seperti perayaan hari keputeraan Nabi Muhammad SAW, tahun baru Islam, perkahwinan dan kematian.

Pembukaan institusi-institusi pondok juga dapat dilihat dengan jelas di Kelantan, sebuah negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia yang terkenal dengan gelaran “Serambi Mekah”. Gelaran tersebut diterima disebabkan Islam telah kukuh di negeri tersebut dan perkembangan ilmu Islam amat baik seperti yang dicatatkan dalam kajian Mohd. Radzi Othman dan O. K. Rahmat pada tahun 2008. Pusat penyebaran ilmu Islam tersebut adalah di Kota Bharu, ibu negeri Kelantan. Institusi pondok tersebut bukan sahaja mengumpulkan penduduk tempatan untuk mepelajari ilmu agama, malah negara jiran serantau seperti Thailand, Indonesia dan Singapurajuga turut berkunjung ke Kelantan bagi tujuan menuntut ilmu. Para guru institusi pondok tersebut terdiri daripada lepasan pelajar lulusan al-Azhar di Mesir, al-Masjidil Haram di Makkah, Darul Ulum di Deoband dan Baitul Hikmah di India.

Selain menuntut ilmu di Timur Tengah, pelajar-pelajar Melayu juga turut terpengaruh dengan gerakan pembaharuan yang berlaku di Timur Tengah tersebut yang mengemukakan pembaharuan mengikut ajaran Islam sebenar dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat Islam. Antara tokoh yang pernah belajar di Deoband dan berpeluang memerintah negeri Kelantan ialah Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz. Beliau dan ayahnya juga merupakan seorang penegak sunnah. Dalam menyebarkan ajaran Islam al-Sunnah, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz dicatatkan menegaskan bahawa dasar penyebaran Islam tersebut adalah tidak menyebut perkataan “bidaah” tetapi memberi keterangan kepada masyarakat berkenaan perkara tertentu yang dijalankan dalam masyarakat disamping tidak mengutarakan perkara yang belum tentu berlaku dalam masyarakat. Ajaran Islam dikembangkan melalui ilmu dan bukan melalui tindakan kekerasan. Masalah yang menjadi pertikaian atau khilafiah tidak perlu ditekankan. Malah penggunaan bahasa yang lunak sebaliknya mendapat perhatian dalam penyampaian ilmu tersebut.

Walaupun gerakan pembaharuan dalam agama tersebut sedang rancak dilaksanakan, namun terdapat juga masyarakat Kelantan yang menentang fahaman pembaharuan yang dibawa oleh Kaum Muda seperti Nik Aziz tersebut walaupun tidak melibatkan penentangan secara fizikal. Walau bagaimanapun, penjelasan yang baik berkenaan pembaharuan tersebut dapat diterima oleh masyarakat dan mereka juga bersedia untuk mengamalkan ajaran Islam walaupun penjelasan yang diberi tidak memberi penekanan terhadap aspek emosi. Terdapat empat institusi pendidikan agama di Kelantan yang diketengahkan dalam kajian tersebut iaitu Masjid Muhammadi, Maahad Muhammadi, Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan (YPTIK) dan institusi istana. Selain itu, beberapa agensi yang mengurus hal ehwal agama Islam di negeri Kelantan termasuklah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu, Jabatan Agama dan Yayasan Islam Kelantan. Sumber kewangan Islam di Kelantan diperoleh daripada sumber kerajaan, zakat dan Baitul Mal, wakaf serta sedekah.

Justeru, dapat dilihat bahawa Islam merupakan agama pilihan masyarakat Melayu terutama di Kelantan yang majoriti penduduknya adalah orang Melayu. Antara perkara dasar yang menyebabkan Islam ini diterima sebagai panduan masyarakat Islam ialah dengan kewujudan al-Quran dan al-Sunnah. Panduan atau manhaj tersebut berbeza daripada panduan yang dicipta oleh manusia berdasarkan ciri-ciri seperti manhaj yang benar, manhaj yang sempurna merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia, manhaj yang mudah untuk difahami dan diamalkan, manhaj yang sesuai untuk semua manusia termasuk kepada orang Melayu, manhaj yang menjadi penyuluh dan penawar bag imanusia, manhaj yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW untuk disampaikan secara kesemuanya kepada manusia serta tidak dapat dipisahkan dengan sunnah Nabi Muhammad SAW.

Peranan Wanita Islam dalam Pembangunan Masyarakat


Terdapat karya Tuan Guru Dato’ Haji Harun Taib pada tahun 2015 bertajuk “Muslimat Pembangun Ummah” yang membincangkan dengan teliti berkenaan wanita dalam pembangunan masyarakat. Karya tersebut menerangkan pandangan Islam terhadap wanita. Selain itu, beberapa peranan wanita Islam turut diketengahkan dari segi ibadah seperti keahlian memasuki syurga, tanggungjawab dalam masyarakat seperti menjadi pembantu kaum lelaki atau muslimin, peranan sebagai seorang isteri, ibu, anggota masyarakat, tanggungjawab di medan jihad, bidang pelajaran dan pendidikan, bidang dakwah, politik, bidang siasah dan bidang kewangan. Peranan wanita dalam pilihanraya juga turut diketengahkan dalam karya tersebut.

Karya beliau juga menyimpulkan bahawa beberapa pendapat ulama yang mengharuskan dan sebahagian yang melarang wanita terlibat dengan bidang politik terdiri daripada pelbagai latar belakang berbeza iaitu dari sudut adat resam, budaya dan suasana. Pandangan mereka adalah sesuai dengan keadaan setempat yang dihadapi. Oleh itu, perlu dikemukakan kaedah yang sesuai di Malaysia. Panduan yang digunakan dalam menentukan keterlibatan wanita Islam dalam politik tersebut termasuklah menggunakan panduan al-Qur’an, Hadith dan al-Ijma’.

Selain itu, terdapat juga kaedah tambahan yang digunakan seperti asal sesuatu itu adalah harus sehingga wujud dalil yang mengatakannya haram, memilih kemudaratan yang ringan antara dua kemudaratan, menolak kerosakan hendaklah didahulukan daripada mendapat kemanfaatan, keadaan kesempitan menyebabkan keluasan, darurat mengharuskan perkara terlarang dan darurat perlu dinilai kemudaratannya, dasar al-Masaleh al-Mursalah serta dasar pendekatan siyasah al-syariah dan hukum dasar lain yang tidak bercanggah dengan nas-nas qat’ie dan dilalah yang qat’ie. Pendekatan ini juga digunakan dalam semua gerak kerja Parti Islam Se-Malaysia (PAS) termasuk berkenaan pencalonan wanita Islam sebagai calon pilihan raya di Malaysia.

Sifat Organisasi Berteraskan Islam


Tidak dinafikan bahawa tugas dan peranan penyebar agama sangat besar. Oleh itu, peranan tersebut tidak mampu dijalankan oleh seorang pendakwah sahaja. Seharusnya wujud satu organisasi berteraskan agama yang menggerakkan tugas penyebaran agama tersebut. Pada hari ini, terdapat beberapa organisasi agama yang pelbagai sifatnya. Lantas, apakah sifat yang perlu ada bagi melayakkan organisasi itu diikuti oleh masyarakat dalam beragama? Antara sifat organisasi atau jamaah yang diberi oleh Rasulullah SAW sebagai panduan untuk diikuti ialah jamaah yang meyakini bahawa Islam adalah satu-satunya kekuatan yang mampu membangunkan umat Islam, membebaskan penindasan terhadap golongan yang lemah dan menyelamatkan dunia dari terlibat dengan kemusnahan. Selain itu sifat yang perlu ada bagi jamaah tersebut ialah muncul dengan kesedaran atas tuntutan Islam dan tidak dipengaruhi oleh fahaman-fahaman aliran lain, jamaah yang beriman terhadap kesejagatan Islam serta meyakini bahawa hanya Islam yang mampu membangunkan tamadun dunia. Seterusnya, jamaah tersebut perlu mengutarakan kebenaran yang tunggal serta memberi ruang kepada umat Islam bersatu atas kebenaran. Jamaah tersebut juga perlu ditubuhkan atas kebenaran dan perlu terus menegakkan kebenaran serta berusaha membebaskan umat Islam dari kehinaan. Usaha yang dilakukan perlulah menghasilkan individu Muslim, keluarga Muslim, masyarakat Muslim, pemerintah atau kerajaan Muslim serta mencapai maksud tertubuhnya negara Islam.

Peranan Organisasi dan Ahli Organisasi Berteraskan Islam


Organisasi berteraskan Islam juga haruslah mempunyai ahli yang bersifat seperti Surah al-Maidah ayat 54 hingga 56 iaitu mencintai Allah SWT dan Allah cintakan mereka, merendah diri sesama mukmin, bangga diri dengan orang kafir, berjihad pada jalan Allah, tidak takut pada celaan serta memberi ketaatan kepada Allah SWT, rasulullah SAW dan pemimpin mereka. Selain itu, ahli organisasi juga perlulah mendirikan solat, menunaikan zakat dan sentiasa ruku’ kepada Allah SWT.  Terdapat beberapa lagi ayat dalam al-Qur’an yang memberi gambaran sifat anggota sebuah organisasi Islam seperti surah al-Jaatsiyah ayat 3 hingga 4, al-Anfal ayat 2, at-Taubah ayat 13 dan beberapa ayat lagi.

Rumusan sifat anggota jamaah Islam daripada ayat-ayat tersebut ialah seperti bertafakur melihat kebesaran Allah melalui ciptaan Allah SWT, takut hanya kepada Allah SWT, taat kepada Allah SWT dan rasulullah SWT, kembali kepada hukum Allah SWT dan sunnah rasulullah SAW, berkasih sayang kerana Allah serta membenci juga kerana Allah SWT. Selain itu, anggota jamaah Islam juga perlu bertawakal  kepada Allah SWT sahaja dan saling memperingatkan antara satu sama lain serta mempunyai budi pekerti  yang mulia. Akhirnya, anggota tersebut juga perlu mempunyai rasa gembira dalam melakukan ketaatan dan kecewa apabila melakukan maksiat. Organisasi Islam juga perlu mempunyai anggota yang saling membantu antara satu sama lain agar matlamat mewujudkan masyarakat Islam itu tercapai.

Dalam konteks yang lebih besar, iaitu amalan bernegara, elemen yang ada ialah rakyat, pemerintah, sistem pemerintahan dan kepelbagaian sumber bagi membentuk sebuah negara yang sempurna. Antaraciri rakyat yang baik adalah seperti Surah ali-Imran ayat 110 iaitu melaksanakan amar makruf,  melaksanakan nahi munkar dan beriman kepada Allah SWT . Selain itu, rakyat juga mempunyai tanggungjawab yang besar seperti yang dijelaskan oleh Zulkifli Mohamad al-Bakri iaitu melaksanakan arahan pemerintah, mengikut taat setia atau baiah, tidak menghuru-harakan keadaan, sabar dengan karenah atau ujian yang berlaku, sentiasa tolong-menolong sesama rakyat dan menasihati pemerintah jika mereka mempunyai ilmu.


Tahap Pembangunan Insan Melalui Organisasi Islam


Terdapat tiga tahap pembangunan insan yang diketengahkan oleh Harun Taib iaitu marhalah at-ta’rif, marhalah at-takwin dan  marhalah at-tanfiz wal-muwajahah. Ketiga-tiga tahap tersebut adalah seperti yang dilaksanakan oleh rasulullah SAW. Tahap pertama ialah marhalah at-ta’rif yang memperkenalkan Islam kepada masyarakat umum seperti syarahan, ceramah, hubungan individu, forum, kelas pengajian dan sebagainya. Tahap pertama ini adalah seperti melaksanakan tugas para nabi seperti yang tercatat dalam al-Quran yang bermaksud:

Berkatalah (Nabi) Nuh a.s.: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku menyeru kaumku malam dan siang.” (Surah Nuh, 71:5)

Tahap kedua pula ialah marhalah at-takwin iaitu pembentukan dan pembinaan tenaga-tenaga mahir untuk menggerakkan organisasi Islam walaupun para anggota terdiri dari pelbagai latar belakang dan kedudukan ekonomi. Tahap kedua ini mempunyai tujuan yang besar dalam melahirkan anggota yang mempunyai ciri-ciri seperti faham Islam yang diperjuangkan, jujur terhadap perjuangan, bersedia untuk bekerja, berjihad dan berkorban serta mematuhi arahan. Selain itu, setiap anggota yang dilatih juga perlulah tetap pendirian iaitu terus berjuang walaupun memerlukan masa yang panjang dalam perjuangan tersebut. Anggota gerakan organisasi Islam ini juga perlu bersih dari fahaman bukan Islam disamping mempunyai ilmu dan beramal dengan falsafah persaudaraan Islam yang membolehkan anggota saling mempercayai antara satu sama lain.

Tahap ketiga dalam pembinaan insan menerusi organisasi ialah marhalah at-tanfiz wal-muwajahah yang memerlukan beberapa syarat iaitu bersabar sehingga cukup persediaan, membuat persediaan dengan bersungguh-sungguh dan mengikut kemampuan. Terdapat beberapa faktor kejayaan dalam usaha tersebut iaitu tetap dan tabah, berzikir kepada Allah SWT, taat kepada Allah SWT dan rasulullah SAW, tidak bertellingkah sesama sendiri dan bersabar dalam menghadapi ujian.

Cabaran dalam Pembangunan Insaniah Organisasi Islam


Dalam usaha menegakkan agama, terdapat juga beberapa cabaran yang perlu diatasi dalam organisasi Islam. Halangan tersebut termasuklah ketaatan selain Allah SWT, takut kepada celaan orang dalam menegakkan Islam, cintakan hidup dan terpengaruh dengan fahaman tasawur yang salah terhadap Islam. Keempat-empat jenis penyakit tersebut harus diubati dengan tiga kaedah iaitu membaca al-Qur’an, pembersihan (at-tazkiyyah) serta memahami kandungan al-Qur’an dan ilmu yang berkaitan syariat Islam. Pembacaan al-Qur’an dibahagikan kepada empat tahap iaitu membaca, membaca dengan tajwid yang betul, memahami pembacaan dan mengamalkan bacaan tersebut. Pembersihan (at-tazkiyyah) juga diperlukan bagi membetulkan akidah, akhlak dan ibadah anggota organisasi Islam. Seterusnya kandungan al-Qur’an dan ilmu berkaitan syariat juga perlu dipelajari iaitu merangkumi ilmu al-kitab dan ilmu hikmah. Ilmu al-kitab adalah seperti ilmu yang terkandung dalam al-Qur’an manakala ilmu hikmah ialah segala perbuatan dan percakapan adalah betul pada tempatnya seperti sunnah rasulullah SAW.

Selain itu, organisasi Islam perlulah membebaskan anggota dari sifat tercela seperti kedekut, mengikut hawa nafsu, mementingkan dunia dan tertarik hanya dengan pendapat sendiri. Apabila sifat-sifat tercela tersebut dapat diatasi, anggota organisasi akan sanggup mengenepikan kepentingan sendiri dengan mengorbankan harta, waktu, tenaga dan jiwa untuk mencapai matlamat organisasi. Bagi mengatasi sifat tercela tersebut, organisasi Islam perlulah membekalkan anggota dan mengingatkan anggota berdasarkan surah an-Nazi’at ayat 104 yang bermaksud:

“Dan adapun sesiapa yang takut kebenaran Tuhannya dan dia menahan diri dari mengikut hawa nafsunya maka sesungguhnya syurga juga tempat kesudahannya.” (Surah an-Nazi’at, 79:104)

Pembangunan Insaniah Melalui Pendidikan


Terdapat beberapa karya berkenaan pembangunan insan dari sudut pendidikan. Antaranya ialah Rohana Hamzah, Nooraini Othman, Nor Hasniah Che Md Ghazali dan Effandi Hj Zakaria serta Nor Hayati Fatmi Talib, Bani Hidayat Mohd Shafie, Mohd Huzairi Awang@Husain, Hajarul Bahti Zakaria, Nabiroh Kassim dan Jamil Ahmad.

Rohana Hamzah mengatakan bahawa pendidikan berkualiti mampu mendidik manusia mengenali suara hati untuk menyedari ilham kebaikan dan kemungkaran dalam jiwa mereka. Bagi melahirkan insan yang holistik, pendidik juga perlu memahami proses pembangunan insan dari sudut potensi kejiwaan dan menggunakan pendekatan holistik dalam proses pengajaran pendidikan. Nooraini Othman  pula menekanakan aspek keseimbangan personaliti dan akademik sebagai teras pembangunan modal insan manakala NorHasniah Che Md Ghazali dan Effandi Hj Zakaria memberi penekanan terhadap pembangunan modal insan guru dalam perkembangan profesional. Seterusnya Nor Hayati Fatmi Talib, Bani Hidayat Mohd Shafie, Mohd Huzairi Awang@Husain, Hajarul Bahti Zakaria, Nabiroh Kassim & Jamil Ahmad pula memberi penekanan terhadap pembangunan negara melalui pendidikan.

Kesemua kajian dan karya tersebut mengetengahkan bidang pendidikan sebagai aspek yang penting dalam pembangunan insaniah yang holistik agar dapat mencapai keseimbangan dalam kehidupan manusia. Proses pendidikan melalui potensi spiritual menjadikan asas pembangunan insaniah tersebut kukuh dan diperkukuhkan lagi dengan perkembangan kebolehan fizikal.

Pembangunan Keluarga melalui Pendidikan


Kamarul Azmi Jasmi dan Siti Fauziyani Md. Saleh @ Masrom menggariskan pendidikan dan pembangunan keluarga cemerlang dari perspektif Islam. Beberapa topikdikemukakan sebagai panduan dan sumber penyelesaian terhadap permasalahan yang berlaku dalam keluarga Islam sepanjang zaman. Terdapat dua sebagai aspek penting dalam pembangunan insaniah iaitu pendidikan akhlak sebagai asas pembangunan insan dan pendidikan adab kehidupan rasulullah SAW sebagai asas pembentukan keperibadian. Pendidikan akhlak tersebut dapat dicapai melalui pemikiran, hati dan perbuatan manakala adab tersebut perlu diterapkan melalui beberapa kaedah seperti teknik uswah hasanah, teknik motivasi dan ancaman, teknik arahan berbentuk suruhan dan tegahan, teknik bercerita dan teknik metafora.

KESIMPULAN


Keperluan menjalankan kerja penyebaran agama terhadap masyarakat sosial melalui pendidikan adalah tinggi sama ada di peringkat individu, keluarga mahupun masyarakat. Lambakan tugasan seharian untuk mencukupkan keperluan peribadi dan keluarga mahupun organisasi menyebabkan individu, keluarga dan masyarakat tidak mempunyai kesempatan yang mencukupi bagi menjalankan tanggungjawab agama ini.

Apabila timbul isu kekurangan dari sudut sosial dengan peningkatan pelbagai jenis salah laku dalam masyarakat, pelbagai pihak sering menuding jari terhadap kerajaan. Namun, kurang tindakan bersepadu dilihat dari segi sumbangan masyarakat itu sendiri terhadap kesejahteraan sosial negara. Justeru, kesedaran untuk menampung kekurangan sosial ini perlu ditingkatkan dengan menambah nilai agama dalam kehidupan seharian masyarakat. Antara pihak yang tampil ke hadapan untuk mengatasi isu ini ialah badan bukan kerajaan (non-government organisation, NGO). Pertubuhan NGO memainkan peranan penting dalam menggerakkan usaha memberi kesedaran  agama kepada masyarakat mahupun kerajaan melalui suara yang diwakilkan dalam saluran-saluran seperti forum, persidangan dan mesyuarat antara kerajaan dan masyarakat. NGO ini juga membawa suara golongan yang diwakili seperti golongan belia, ibu tunggal, pelajar IPT, pekerja swasta, kanak-kanak dan orang tua.

Hasil daripada perbincangan yang dijalankan, beberapa undang-undang diperingkat kebangsaan mahupun di peringkat dunia telah ditubuhkan. Namun, usaha membangunkan masyarakat tidak sekadar cukup dengan penubuhan garis panduan dan undang-undang semata-mata. Ia harus disusuli dengan usaha meningkatkan kesedaran masyarakat untuk membangun dari segala aspek secara seimbang dengan kaedah yang rasional dan mudah untuk diamalkan. Justeru, pendekatan yang dibawa oleh ajaran Islam amat praktikal untuk diamalkan dalam kehidupan individu, keluarga, mahupun masyarakat. Penyampaian ajaran Islam tersebut juga perlu dilaksanakan bermula dari aspek pendidikan dalam segala hal yang bersangkutan dengan kehidupan bagi mencapai pembangunan yang seimbang, maju dan diredai Allah SWT.

Bagi mendapatkan gambaran terhadap pembangunan berteraskan Islam, masyarakat terutama individu dalam organisasi Islam perlu melihat kembali sistem yang diamalkan oleh tamadun Islam sehingga terbukti menjadi satu tanda aras kemajuan masyarakat terdahulu yang dikagumi tamadun-tamadun lain sehingga hari ini. Pembangunan yang dicapai bukanlah dari sudut material semata-mata, malah merangkumi kesemua aspek kehidupan seperti pendidikan, kerohanian, kesihatan, kebajikan, kegiatan ekonomi, pertanian, politik dan sebagainya. Kesemua bidang tersebut tidak lari dari falsafah tasawur Islam iaitu Allah sebagai Pencipta, manusia sebagai hamba dan khalifah di muka bumi serta sumber alam sebagai makhluk yang boleh digunakan untuk mencapai keperluan hidup seharian.

Justeru, kemajuan-kemajuan yang dicapai oleh masyarakat pada hari ini perlu dinilai semula agar definisi kemajuan tersebut tidak hanya berlandaskan aspek material atau bukan insaniah, malah juga merangkumi aspek insaniah iaitu melibatkan sifat kemanusiaan itu sendiri seperti nilai dan norma kehidupan beragama.

RUJUKAN:

Amran Kasimin (1993). Agama dan Perubahan Sosial di Kalangan Penduduk Asli di Semenanjung Tanah Melayu. Terj. Padilah Haji Ali. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Harun Taib (2015). Muslimat Pembangun Ummah. Kuala Terengganu: Lajnah Tarbiyyah dan Perkaderan PAS Negeri Terengganu. 
Mohd. Radzi Othman dan O. K. Rahmat (2008:220). Gerakan Pembaharuan Islam: Satu Kajian di Negeri Perlis dan Hubung Kaitnya dengan Malaysia. Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia.
Zulkifli Mohamad al-Bakri  (2014). Negara Sejahtera Rahmat untuk Semua. Nilai: Pustaka Cahaya Kasturi Sdn. Bhd. 
Nooraini Othman. (2009). Keseimbangan Personaliti dan Akademik sebagai Teras Pembangunan Modal Insan. Jurnal HEP & Alumni, UiTM, 1(1).
Nor Hasniah Che Md Ghazali & Effandi Hj Zakaria (2010). Perkembangan Profesional Ke Arah Pembangunan Modal Insan Guru. Dlm. Seminar Antara Bangsa Islam KUIS. 
Nor Hayati Fatmi Talib, Bani Hidayat Mohd Shafie, Mohd Huzairi Awang@Husain, Hajarul Bahti Zakaria, Nabiroh Kassim & Jamil Ahmad (2010).
Rohana Hamzah (2013). Mengenali Manusia: Asas Pembangunan Pendidikan Berkualiti. Johor Bahru: Penerbit UTM Press.
Kamarul Azmi Jasmi dan Siti Fauziyani Md. Saleh @ Masrom (2007). Pendidikan dan Pembangunan Keluarga Cemerlang. Skudai: Penerbit Universiti Teknologi Malaysia.