Menuntut Ilmu Jalan ke Syurga

Monday 29 February 2016

Pengangkutan dan Perumahan dalam Pembangunan Manusia

Pengangkutan memainkan peranan penting kepada manusia sebagai kelengkapan memudahkan urusan dan perhubungan antara manusia. Merujuk kepada hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Empat perkara yang membawa kebahagiaan iaitu wanita yang solehah, rumah yang luas, jiran yang baik dan kenderaan yang selesa.”
(Ibnu Hibban)

Diungkapkan bahawa dua daripadanya melibatkan manusia iaitu isteri dan jiran tetangga yang terdekat dalam kehidupan seseorang manakala dua lagi kelengkapan yang diperlukan bagi menampung kehidupan seorang manusia ialah infrastruktur rumah untuk dihuni dan juga pengangkutan yang baik untuk digunakan. Isteri mahupun ahli keluarga yang baik mampu mendorong seseorang untuk melakukan ketaatan kepada Allah SWT manakala jiran yang baik pula mampu menjaga dan menghormati keaiban keluarga jirannya daripada diketahui orang lain. Kepentingan mempunyai isteri solehah boleh dijelaskan berdasarkan hadis berikut:


"Dari Abu Hurairah r.a. katanya “Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda “Wanita Quraisy itu amat baik, mereka dapat menunggang unta, amat pengasih pada anak-anak dan pandai menjaga harta suami.”
(Bukhari: 4946)

Selain itu, rumah yang luas juga memberi ruang kepada keluarga terutama untuk mengasingkan tempat tidur anak-anak lelaki dan perempuan ketika sudah mencecah umur sepuluh tahun seperti sabda baginda Rasulullah SAW yang bermaksud:

Perintahlah anak-anak kamu supaya mendirikan sembahyang ketika berusia tujuh tahun dan pukullah mereka kerana meninggalkan sembahyang ketika berumur sepuluh tahun dan asingkanlah tempat tidur di antara mereka (lelaki dan perempuan).
(Abu Daud dan al-Hakim)

Rumah yang luas juga memberi peluang kepada tetamu untuk bertandang ke rumah dalam keadaan yang selesa. Dalam ayat al-Qur’an, Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Allah menjadikan untuk kamu rumah sebagai tempat tinggal (tempat ketenangan).”
(Surah an-Nahl, 16:80)

Mempunyai jiran tetangga yang baik juga merupakan sebab yang melengkapi kehidupan bermasyarakat terutama apabila berlaku kematian, menjaga rumah apabila ditinggalkan lama dan membantu menunaikan hajat keluarga ketika diperlukan. Terdapat beberapa ayat al-Qur’an dan hadis yang menjelaskan perihal menjaga hak jiran. Antaranya ialah hadis riwayat Aisyah r.a. yang bermaksud:

“Jibril sentiasa mewasiatkanku untuk berbuat baik terhadap jiran tetangga sehingga aku mengira jiran tetangga juga akan mendapat harta waris.”
(Bukhari: 5555)

Akhirnya, kenderaan yang baik pula memainkan peranan yang penting dalam membantu urusan seharian seorang insan yang perlu bergerak ke tempat pengajian, kerja dan urusan keluarga. Antara ciri kenderaan yang baik ialah kenderaan yang membolehkan pemandu menunaikan solat sunat di atasnya seperti yang telah dilakukan oleh Rasulullah SAW yang dapat diperhatikan dalam maksud hadis berikut:

“Rasulullah SAW pernah melakukan solat sunat di atas haiwan tunggangannya, menghadap ke arah mana sahaja baginda menghadap dan baginda juga melakukan witir di atas tunggangannya, namun baginda tidak melakukan solat wajib di atas tunggangan.”
(Muslim: 1136)

Selain itu, kenderaan tersebut juga merupakan kenderaan yang baik apabila mampu menampung barang-barang keperluan sebagai bekalan dalam perjalanan. Hal ini dapat dilihat menerusi hadis yang bermaksud:

“Nabi SAW pernah mengirim kami dengan jumlah tiga ratus tentera dan kami membawa bekalan di atas tunggangan kami.”
(Muslim: 3579)

Oleh itu, tidak dapat dipisahkan antara hubungan sesama manusia dan persekitaran termasuk rumah dan pengangkutan bagi membangunkan kehidupan manusia yang seimbang sehingga ke tahap yang sempurna dalam kehidupan di dunia hingga akhirat.

No comments:

Post a Comment